Rishi-rishi Veda Veda

Dengan mengamalkan Brahmacharya, golongan Rishi mendapat daya ingatan yang kuat. Brahmacharya ialah pengumpulan tenaga dengan mengawal nafsu syahwat. Menurut Pātanjala Yogasūtra, Sādhanapāda, Ayat 38, “Brahmacharyapratishthāyam vīryalābhah” (Kesaktian diperolehi dengan mengekalkan tenaga batin). Menurut golongan Rishi, seseorang yang mengawal nafsu syahwatnya dan tidak membazirkan tenaga batin dengan aktiviti seksual akan mendapat daya ingatan yang tinggi. Selain itu, amalan Brahmacharya juga memanjangkan usia dan memberikan dhāranā sakti – kebolehan untuk memahami intipati kitab-kitab suci. Dengan kekuatan Brahmacharya, para Rishi menghafal ayat-ayat suci Veda dan memberikannya kepada pengikut mereka.

Orang pertama yang mula-mula mengumpul dan menyusun ayat-ayat suci Veda ialah Krishna Dvaipayana (juga dikenali sebagai Veda Vyasa). Baginda menyusun ayat-ayat suci ini kepada empat Veda – Rig Veda, Sāma Veda, Yajur Veda, dan Atharva Veda. Menurut Vishnu Purana, Vyasa dibantu oleh empat orang pengikutnya dalam mengumpul Veda. Paila membantunya untuk mengumpul Rig Veda; Vaisampāyana mengumpul Yajur Veda, Jaimini mengumpul Sama Veda dan Sumantu mengumpul Atharva Veda.

Seperkara perlu diperhatikan. Dalam Veda, keutamaan diberikan kepada sesuatu penemuan dan bukannya kepada orang yang menemui ilmu itu. Maka, ramai Rishi tidak peduli untuk menuntut hak sebagai orang yang menemui sesuatu ilmu.[8] Ini kerana, golongan Rishi sedar bahawa ilmu adalah abadi dan bukannya milik sesiapa pun.

Menurut Swami Vivekananda, "... Veda tidak bergantung kepada sesiapa pun untuk autoriti. Veda adalah autoritinya sendiri kerana ia adalah ilmu abadi mengenai Tuhan.'[9]

Seorang Rishi juga dikenali sebagai 'Mantra-drashta' iaitu seseorang yang 'melihat' ilmu. Rishi bukan pemilik sesuatu ilmu tetapi hanya orang yang menemuinya. Apabila sesuatu ayat suci dikatakan diterima daripada seseorang Rishi tertentu, ia bermaksud Rishi itu telah menemuinya dan bukan bermaksud baginda menciptanya. Dalam kata lain, seorang Rishi ialah seorang yang menemui ilmu rohani.[10]